Khamis, 10 Mac 2011

Ayah pergi buat selamanya

Hari Jumaat 4-Mar-2011, jam kat dinding office dah pukul 4.45pm. Aku bergegas keluar sebab aku dah janji dengan isteri aku nak hadir ceramah motivasi yang sekolah anak aku anjurkan hari ni. Ceramah bermula jam 5.15pm selepas solat Asar. Sebelum keluar aku solat dulu kat surau kilang sebab aku rasa tak sempat solat kat sekolah. Tiba saja di sekolah semua waris diarahkan ke dewan sekolah untuk mendengar ceramah persediaan UPSR oleh Ustaz Ramli.


Habis saja ceramah kami ke kantin untuk jamuan ringan sementara masuk waktu Maghrib untuk solat berjemaah dan kemudian bacaan Yasin bersama. Tiba-tiba aku terdetik untuk telefon rumah mak untuk bertanyakan yang siapa yang akan jaga ayah malam ni. Tengahari tadi abang Man SMS aku minta aku gantikan dia hari ni dan aku dah reply aku tak boleh ganti sebab program motivasi kat sekolah anak aku.


"Hello siapa ni?" tanya aku.
"Abu ha, ni Omar suruh hang mai rumah mak la ni.." Abang Adin yang jawab.
"Ni.. Ayah berak keluar darah banyak ni.. hang mai tolong tengok sat.." jawab Abang Adin lagi.
"Ya.. Abu mai, Abu mai.." kata aku.

Aku terus keluar balik rumah salin baju dulu sebab aku masih pakai uniform kerja. Aku contact isteri kau yang aku dah tinggalkan sekolah untuk ke rumah mak dan pesan dia suruh ambil Munirah malam nanti. Sampai rumah mak aku tengok ayah dah semakin lemah. Omar dah panggil Ambulan dan Omar tunjukkan aku lampin ayah penuh dengan darah dalam besen. Terkejut aku tengok darah merah fresh yang banyak dalam besen tu. Omar suruh aku solat Maghrib dulu dan ikut ayah ke Hospital Bagan Specialist, Abang Adin pun ikut juga. Di Hospital ayah di tempatkan di High Defencency Unit (HDU). Dr. Kamala, Doktor yang bertugas menyatakan ayah dah banyak kehilangan darah. Sebelum keluar hari tu Hemoglobin ayah di level 14 hari ni turun ke level 8. Ayah dimasuk kan darah satu pain aku tunggu ayah sampai jam 10.00pm. Aku telefon mak untuk memberitahu condition ayah. Aku balik ke rumah dan kemudian Omar datang ke Hospital untuk tengok ayah.

Hari Sabtu 5-Mar2011, pagi tu memang cadang nak beli barang rumah kat Carrefour. Munirah pulak aku hantar ke rumah kawan dia Ashiahtul kat Bertam Indah untuk sama-sama habiskan kerja pollio mereka. Habis beli barang kira-kira jam 11.30am kami terus ke Bagan Specialist untuk tengok keadaan ayah. Kak Noni, Amirul,Farah dan Hafizi pun dah ada kat Bagan Specialist. Omar datang sekejap kemudian balik ke office dia sebab ada kerja. Keadaan ayah masih sama dan dia sentiasa diawasi oleh nurse yang bertugas. Kekadang aku dekatkan diri dengan dia dan tanyakan khabar dia. Ayah ingin bercakap tetapi suaranya tak berapa jelas. Kekadang aku rasa bersalah jika tak berapa faham apa yang ditanya atau dimintanya.

Pukul 2.30pm aku dan anak isteri ke rumah abang Din iaitu abang kepada abang Razi buat kenduri kahwin anaknya. Kemudian kami ke Bertam Indah untuk ambil Munirah, agak terlewat sedikit kami ambil Munirah yang sepatutnya habis jam 3.00pm tapi kami sampai jam 3.30pm. Pukul 4.15pm pulak dia ada kelas tuisyen dan hari ni Fauzi jiran aku yang hantar dan aku akan ambil mereka jam 6.45pm.

Hari Ahad 6-Mar-2011, tengahari tu aku pergi tengok ayah kat Bagan Specialist. Mak dan Naemah dah ada tepi ayah. Mak datang dengan Omar tapi Naemah datang sendiri dari USM. Ayah masih berak berdarah dan dah tiga pain darah di ganti.
"Aku nak balik..." kata ayah
"Nanti kita balik naa.." kata mak
"Tak boo..lehh.." jerkah ayah .. tersirap darah aku dengar ayah tinggikan suaranya pada mak.
"Tak..tak nanti kita minta kat Doktor untuk balik.." kata mak lagi
"Tak boo..lehh.. " jerkah ayah lagi.. dengan nada yang sama.
"Depa tak bagi aku balik... depa nak aku mati kat sini" kata ayah lagi sambil menuding jati ke tilam.
Aku cuba tenangkan ayah sambil menggosok kepala dia. Ayah memang selalu minta untuk balik tapi susah untuk kami bawa balik dia kerana dia masih berak berdarah. kami takut jika bawa balik rumah kami tak tahu nah handle bila dia berak berdarah lagi. Aku balik ke rumah bila isteri aku kata makanan dah selesai masak kerana hari tu isteri aku masak. Malam tu Naemah teman mak kat rumah.

Hari Isnin 7-Mar-2011, 12.30am awal-awal lagi mak dah telefon yang ayah dalam keadaan kritikal. Aku bangun terus ke Bagan Specialist Hospital meluru ke katil ayah di HDU tu. Doktor Kamala keluar dari bilik hujung terus jumpa aku. Ayah berak darah lagi dan kali ni banyak. Darah juga keluar ikut mulut dan badannya makin lemah. Mereka tambah darah lagi. Omar dan abang Razi sampai kemudiannya. Aku call abang Man tapi tak angkat dan aku terus SMS nya saja . Abang Man sampai kira-kira setengah jam kemudian. Semua keluarga dah kami contact menyatakan ayah dalam keadaan kritikal. Tapi sampai saja jam 3.00am ayah kembali normal, semua tekanan darah, nadi,oksigen dan Hemoglobin kembali normal. Aku kembali ke rumah jam 3.45am setelah pihak hospital kata ayah dah ok. Aku kembali tidur jam 4.15am.

Bila aku jaga pagi tu jam 6.50am aku terus call Mr. Foo menerangkan pekara yang terjadi semalam, aku minta dia cari ganti untuk aku ke Jepun hari Rabu nanti. Aku ambil cuti hari tu, pagi tu jam 9.30am aku dah ada di Hospital. Omar dah jumpa dengan Dr. Chris dan Dr. Chris kata susah untuk dia check punca pendarahan dalaman ayah kerana masih belum stabil.  Dia juga ada nasihatkan kami bawa ayah balik. Ayah juga mula minta untuk berjumpa dengan semua anak perempuannya. Hari tu ramai saudara perempuan aku datang untuk melawat ayah. Dr. Tan pemilik Bagan Specialist juga datang memeriksa ayah. Ketika itu ayah dalam keadaan stabil.

Di factory aku juga pihak management telah di beritahu perihal ayah aku, Mr.Lee boss aku dan Zaidi collouge aku datang melawat ayah aku. Mr.Lee juga datang untuk pastikan yang aku dapat pergi ke Jepun ataupun tidak. Mr.Lee kenal rapat dengan Dato Dr.Tan. Mr.Lee meminta aku bersama berjumpa dengan Dr.Tan. Dr.Tan menyatakan yang ayah masih lagi stabil cuma dia perlu diperiksa apakah punca pendarahan dalamannya. Dr.Tan juga menyatakan aku masih boleh ke Jepun. Aku harapkan Dr.Tan menyebelahi aku sebab aku masih risaukan keadaan ayah tetapi Dr.Tan sebaliknya. Petang tu aku diminta ke factory untuk mengisi beberapa borang untuk aku ke Jepun. Balik dari factory aku singgah di Pasific Shopping Komplek untuk membeli Winter Coat dengan harga RM350. Aku dapat claim balik RM300 dari company. Aku rasa semua barang dah aku siapkan untuk berangkat ke Jepun. Aku singgah ke Bagan Specialist untuk melawat ayah lagi.
"Hang kerja ka..?" tanya ayah dengan suara yang kurang jelas..
"Ya.. Abu singgah kilang sat.." jawab aku
Risau juga aku takut dia marah aku sebab tak ada orang lain yang tunggunya. Aku telefon rumah mak aku tapi Izati yang jawab. Ini bermakna abang Mat dah sampai. Aku suruh sapa-sapa datang untuk temankan ayah tapi mak kata mereka akan datang lepas Isyak. Aku balik senyap-senyap tanpa beritahu ayah sebab aku kena ambil Mirza anak kecil aku.

Pukul 7.30pm sekali lagi emak telefon aku menyatakan dia menerima panggilan yang ayah dalam keadaan kritikal sekali lagi. Semua saudara aku kecuali kak zan yang berada di Bahrain bergegas ke Bagan Specialist. Kami buat keputusan yang mahu membawa ayah balik esok hari. Balik rumah aku buat solat Istiqarah untuk mencari jawapan adakah aku masih perlu ke Jepun?

Hari Selasa 8-Mar-2011, aku ke tempat kerja dalam keadaan yang buntu, ragu sebab aku tak nampak apa pun dalam mimpi tidur aku semalam. Sampai tempat kerja aku bertemu Ide-san, dia nasihatkan aku buat keputusan yang betul dan utamakan keluarga dahulu. Pukul 8.45am aku ke Bagan Specialist lagi, kali ini aku perlu cari jawapan yang betul. Aku jumpa Dr.Chris, Dr.Kamala dan Dr.Tan, aku masih celaru kerana mereka berselisih pendapat. Dr.Tan masih menyatakan ayah akan stabil cuma perlu di tengok punca dalamannya. Akhirnya aku pulang ke tempat kerja dan membuat pendirian aku yang aku tak nak pergi Jepun kali ini. Lega rasanya selepas aku buat keputusan itu. Hari tu Omar, abang Mat, Azman dan Zaki juga menderma darah untuk menggantikan darah yang di beri kepada ayah.

Hari Rabu 9-Mar-2011, 12.15am sekali lagi aku dikejutkan dengan panggilan telefon dari mak. Sama seperti semalam aku bergegas ke Bagan Specialist. Kali ini aku lihat ayah berlainan sekali, dia bernafas dengan kencang.. huupp...haapp...huupp...haapp tak berhenti. Kaki ayah sejuk, Afifi dan Omar membisikkan "La illa ha illlalah" berkali-kali ke telinga ayah. Silih berganti aku juga membuat pekara yang sama.
"Ayah dengaq dak?? Ayah sebut La illa ha illlalah" kata aku.
"La illa ha illlalah..La illa ha illlalah....La illa ha illlalah" kata aku.
Aku tengok abang Jamil mengaji tak berhenti-henti. Rosnah dan kak Noni baca Yassin, bacaan meter menunjukkan nadi ayah semakin kencang dan BP turun mendadak. Iza dan Azman pun sampai. Hampir dua jam kami di situ akhirnya kami buat keputusan untuk segera menghantar ayah pulang ke rumah. Aku bergegas turun dan terus ke rumah mak.

Pukul 2.15am ambulan sampai rumah mak, laluan dan katil untuk letakkan ayah dah kami sediakan. Ayah diusung oleh pekerja Hospital dan kemudian nurse yang jaga ayah memeriksa nadi ayah. Dia menggeleng-gelengkan kepalanya. Ini bermakna ayah dah tiada, ayah dah meninggalkan kami buat selama-lamanya. Aku dah tiada ayah lagi, sebak dada aku. Dalam seumur hidup ku inilah pekara yang paling aku sedih sekali walaupun aku pendamkan dalam hati ku ini. Allah lebih menyanginya, dia hak Allah dan kita tak dapat menghalangnya. Aku bersyukur yang aku membuat keputusan yang betul untuk tidak ke Jepun.

Aku telefon isteri aku untuk datang ke rumah mak sekali dengan anak-anak aku. Kami mula membetulkan jenazah ayah dengan meletakkan minyak, memastikan mulutnya dan matanya tertutup danmembetulkan semua sendi-sendinya. Ayah dihadapkan ke arah kiblat dan kami memasang tirai untuk lindungi ayah. Anak & isteri aku sampai dan aku suruh mereka naik atas sebab Munirah anak sulung aku ada exam esok. Aku betulkan tilam dan bantal sambil angkat Mashitah untuk tidur. Kami mula mengaji Al Quran beramai-ramai silih berganti. Mata aku mula mengantuk, pukul 4.30am aku naik atas dan dapat lelapkan mata satu jam.

Pukul 8.00am kat rumah mak dah ramai orang datang melawat, Abang Mat jiran mak dah kendalikan urusan pengkebumian ayah. Segala alatan, keranda, solat jenazah, mandi jenazah & lain-lain lagi semuanya diuruskan oleh abang Mat. Aku lihat ramai kelompok guru, rakan sekerja, rakan haji aku, jiran-jiran, saudara mara dan kenalan ayah datang ziarah. Kami mula mandikan ayah kira-kira jam 9.30am, kemudian ayah dikafankan dengan kemas. Bau setanggi, bau-bauan dari daun limau purut dan macam-macam lagi mula menusuk hidung ku. Ketika proses kafan hampir selesai kami diberi peluang terakhir melihat wajah ayah dan mengucup dahi ayah. Air mata mula bercucuran, sedih, hiba, pilu semuanya aku terasa. Pukul 11.00am ayah  dimasukkan dalam keranda, diusung ke kereta jenazah. Aku naik kereta jenazah bersama ayah ke masjid untuk disolatkan. Ramai sungguh orang datang untuk solatkan ayah, hampir 53 kariah masjid datang untuk solatkan ayah. Selepas habis solat jenazah ayah dibawa ke tanah perkuburan Permatang Tok Jaya untuk dikebumikan. Kami sama-sama menolak tanah untuk menimbus keranda ayah dan kemudian ayah ditalkinkan hingga semua proses pengkebumian selesai. Kami tinggalkan ayah sendirian di situ dan kami pulang ke rumah mak.

"Ya Allah.. ampunkan dosa ayah ku ini, masukkan dia ke Syurga dan tempatkannya bersama-sama orang-orang beriman dan yang beramal soleh. Ya Allah... janganlah kau siksa ayah ku di alam kubur. Ringankan lah penderitaannya...Amin"