Rabu, 21 Februari 2018

Rawatan Tradisional

Assalamualaikum...
     Tragedi di Sungai Klah resort minggu lepas masih menjadi igauan buruk bagi ku. Masih terbayang bagaimana aku terjatuh ke dalam longkang tu sehingga menyebabkan dua tulang rusuk kiri ku patah dan kaki kanan ku terseliuh. Ngeri sungguh rasanya... kenapalah pada masa tu aku tak berhati-hati untuk melangkah masuk ke dalam kereta, kenapalah aku "parking" rapat di tepi longkang sehingga tak banyak ruang untuk aku memijak tebing longkang tu,  kenapalah pula aku "parking" sebelah pemandu betul-betul di tepi longkang dan tidak sebaliknya dan kenapalah pihak resort tidak mengadakan lampu jalan di situ bagi mencerahkan kawasan gelap tu. Begitu banyak persoalan yang aku terfikir di benak hati ku, sedangkan aku ni boleh dikatakan seorang yang sangat berhati-hati. Tapi itu semua adalah ketentuan Allah dan sudah ditakdirkan begitu. Ya Allah.. aku redha dengan Qada dan Qadar mu, ampunilah dosa-dosa ku.
     Memang susah kalau tulang dah patah, sakit kalau badan bergoyang. Pergerakan juga amat terbatas, susah nak tunduk atau duduk terutamanya semasa Solat. Tambah lagi kaki kanan ku terseliuh, susah nak cari posisi yang betul semasa duduk, kalau tersilap sikit pasti sakit. Begitu juga kalau nak batuk dan bersin, aku akan cuba untuk menahannya supaya tidak batuk atau bersin.
     Berita kemalangan ku cepat tersebar, kak Tipah dan abang Adin adalah orang pertama yang tahu kemudian kak Noni, kak Yah dan adik aku Omar dan Iza. Kebanyakan mereka sudah pun datang menziarahi aku, macam-macam cadangan yang mereka cadangkan untuk aku pergi berubat secara tradisional bagi memulihkan aku. Abang Adin mencadangkan aku untuk pergi ke pusat rawatan Maussyifa yang letaknya di Jarak dan kami menetapkan tarikh 20 Feb iaitu pada hari Selasa dan dia sendiri yang akan bawa aku ke pusat rawatan tu.



     Pada pagi Selasa 20 Feb 9:00am abang Adin dan kak Tipah datang untuk membawa aku ke tempat rawatan tu. Mudah di cari dengan petunjuk yang diberikan oleh kawan-kawan iaitu depannya Sekolah, rumah berwarna oren di antara Petronas dan Masjid. Semasa aku sampai tidak ada orang lain, akulah orang pertama yang datang hari tu. Aku terus masuk ke dalam dan berjumpa dengan Tabib yang aku panggil Ustaz. Aku menceritakan segalanya apa yang terjadi pada diriku.

Dia suruh aku duduk menegak di atas katil lalu terus menekan beberapa bahagian. Kemudiannya dia menyuruh aku batuk dengan kuat. Setelah dicari dia dapat merasakan kedudukan tulang yang patah tu. Dia mencengkam dan menolak kemudiannya menyuruh aku batuk dengan kuat lagi. Aku dapat rasakan apabila dia mencengkam badan ku dan disuruh nya aku batuk dengan kuat dah kurang rasa sakit tidak seperti sebelumnya.  Selepas itu dia mengambil plaster dan dilekat ataupun diikatnya badan aku sehingga aku rasa kejap. Kemudiannya Ustaz bertanya samada aku membawa air atau pun tidak. 
     Abang adin dah belikan dua botol air mineral satu untuk ku dan satu untuk cucu dia Adam. Selepas itu Ustaz membuka tudung botol air mineral dan dibacakan doa untuk dijadikan penawar. Setelah selesai membaca doa diberikan botol tu pada ku, katanya minum dua sudu besar siang dan dua sudu besar pada malam hari. Untuk air yang sebotol lagi adalah untuk Adam cucu abang Adin iaitu anak kepada Syafiq. Ustaz membuka botol air mineral juga dibacakan doa untuk dijadikan penawar. Ustaz memberi botol itu kepada abang Adin untuk mandikan Adam setengah botol dan minum dua sudu malam dan siang. Menurut abang Adin, Adam kerap sangat demam jadi dia minta penawar pada Ustaz mudah mudahan Adam cepat sembuh.                         
     Setelah pulang ke rumah aku rasa lebih selesa walaupun diikat sementara pergerakan ku lebih baik dan tidak terlalu sakit. Moga-moga dengan izin Allah air penawar itu dapat menyembuhkan tulang ku yang patah. Aamiin...

Sabtu, 17 Februari 2018

Tragedi Villa Sungai Klah

Pada cuti Tahun baru cina tahun ini, famili sebelah isteri aku telah merancang untuk mengadakan “family gathering” di Sungai Klah Hot Spring resort. Ianya terletak di Felda Sungai Klah, Sungkai, Perak. Ipar aku Jumat sudah pun menempah sebiji Villa dan empat bilik berasingan bagi menempatkan enam adik beradik yang telah berkeluarga, mertua aku dan dua ipar yang masih bujang. Kebetulan anak aku Munirah yang sedang belajar di Bukit Jalil pun akan balik bercuti, jadi aku sudah pun belikan tiket keretapi ETS untuknya. Anak aku akan bertolak dari KL Sentral pukul 10:20pm dan akan sampai di stesyen keretapi Sungkai pada pukul 11:50pm. Pada hari yang sama kami sekeluarga pun bertolak dari rumah di Kepala Batas pada pukul 10:30am dan sampai di lobby Sungai Klah resort pada pukul 2:00pm. Ipar aku Jumat, isterinya bersama adik ipar yang bongsu Suhaila dan mertua aku sampai pada waktu yang sama. Waktu “check in” adalah pada pukul 3:00pm, jadi terpaksalah kami tunggu sekejap. Mertua aku yang lumpuh angota badannya dan hanya berkerusi roda mula gelisah kerana lama mennungu. Jumat sentiasa beranya pada penjaga kaunter samada villa kami dah “ready” atau pun tak kerana kasihan melihat ibunya yang gelisah itu. Pada pukul 2:30pm penjaga kaunter memanggil dan menyatakan villa nombor 9 kami sudah boleh diduduki. Pada masa yang sama ipar aku yang lain Azahar sekeluarga, Shakir dan isterinya Munah dan juga Azizi pun sampai, kemudiannya kami semua terus ke Villa nombor 9 kami untuk berkumpul di sana. Jalan menuju ke villa itu agak sempit, lima biji kereta kami “parking” untuk memunggahkan barang-barang dan pakaian. Biras aku dari Bayan Baru Pulau Pinang sampai kemudiannya. Jadi semuanya ada enam biji kereta di depanVilla tu. Empat bilik yang kami sudah kami tempah tu hanya untuk tidur saja malam nanti.



      Aktivity utama kami adalah untuk berendam di dalam jakuzi air panas yang ada dalam Villa tu. Kedudukan jakuzi di tengah-tengah villa adalah amat sesuai. Kami perlu memberitahu penjaga di kaunter lobby untuk menyalurkan air panas ke villa kami. Menurut fakta kejadian air panas di situ adalah dari batu granit yang semulajadi panas dan terdapat pula matair yang melaluinya, ianya bukan dari lahar gunung berapi seperti di negara Jepun. Untuk makan tengahari pula isteri aku dah masak daging salai masak lemak di rumah awal pagi tadi. Daging salai itu ditempah melalui anak saudara yang tinggsl di Selangor. Isteri aku juga ada menyediakan ayam goreng berempah yang dipelajari dari kawannya. Kami juga sempat membeli ulam-ulaman dikedai sayur manakala sambal belacan juga dibeli dikedai makan yang biasa kami beli di Kepala Batas. Nasi putih dimasak oleh Ros isteri ipar aku Azahar dan ada juga lauk lain yang dibeli oleh Jumat. Lepas itu kami berendam semula dalam jakuzi. 
     Pada pukul 6:00pm kami mula sediakan bahan untuk BBQ. Bahan perapan kambing, ayam, sate, otak-otak dan kebab dah disediakan. Aku dan Jumat bawa peralatan memanggang ke tempat khas BBQ yang disediakan oleh pihak resort. Pada waktu itu cuaca kurang baik kerana hujan renyai, kami terpaksa mencari tempat berbumbung walaupun tempat khas memanggang telah tersedia di kawasan terbuka. Oleh sebab kami membawa peralatan memanggang sendiri kami memasangnya di bawah bumbung. Tapi setelah siap memasang dan semasa hendak menyalakan api Jumat bagitau aku  “starter” pulak tak ada, aku cuba nyalakan cara biasa dengan membakar kertas pembalut arang dan juga menuangkan minyak masak sedikit atas arang. Jumat menawarkan diri untuk keluar membelinya. Disebabkan angin yang kadangkala agak kuat ianya memudahkan bara api menyala dan akhirnya berjaya menyala. Aku terus hubungi Jumat untuk membatalkan hasratnya untuk membeli “starter”. Setengah jam kemudian ipar dan biras aku yang lain datang untuk membantu sehingga selesai membakar. Oleh sebab hujan masih renyai kami membawa pulang semua makanan yang telah dibakar ke villa tempat kami berkumpul dan di villa kami kaum wanita sibuk menyediakan air minuman dan nasi goreng. Kami makan bersama-sama sehinggalah pukul 10:30pm. Aku mengajak isteri aku balik ke bilik untuk berehat.
     Pada waktu inilah tragedi yang menimpa aku bermula. Mulanya aku mengangkut beg pakaian ke dalam bonet kereta, bila aku pusing untuk masuk ke dalam kereta dalam keadaan gelap aku tidak nampak dan perasan ada longkang. Bagai terasa jatuh ke dalam gaung dada kiri ku terhentak ke bucu longkang dan kaki kanan ku terhentak sekali lagi di situ. Aku menjerit “Arrgghhh” dada ku sesak dan susah bernafas. Perlahan-lahan aku cuba bangun, aku cuba bernafas dalam-dalam lama kelamaan pernafasan ku agak selesa sikit. Isteri ku terus berlari ke arah ku. 
“Pasai apa??? “.. tanya isteri ku cemas. 
“Jatuh, tak nampak ada longkang, gelap” kata ku dengan nafas yang sesak.
“Tu boleh bangun tak?” tanya dia lagi.
“Boleh, rasa-rasa patah apa tulang ni” aku bersuara rasa rusuk ku amat sakit. 
      Kaki aku juga perit tapi aku cuba juga bangun dan keluar dari longkang tu. Sambil jalan terhencut-hencut isteri aku kata, biar dia yang memandu. Sampai di bilik tempat aku menginap isteri aku memberitahu ipar ku Jumat untuk tolong mengambil anakku Munirah yang akan sampai pukul 11:50pm nanti. Sebelum tidur isteri ku menyuruh aku makan penadol dua biji. Malam tu aku tidur dalam keadaan yang sungguh tidak selesa. Aku bangun awal untuk solat Subuh, peritnya terasa dada ku, kaki ku juga susah nak gerak.. sengal. 


     Pagi tu isteri ku mengajak ku untuk pergi sarapan, aku menyatakan yang aku tak nak pergi sarapan dekat situ dan suruh bawa anak ku yang lain. Kupon untuk sarapan di restoran resort diberikan dua untuk setiap bilik, Munirah kata dia nak tidur lagi, mungkin dia terlalu letih semalam. Isteri ku tak ada pilihan lain, nak diajak yang bongsu tak berbaloi, jadi dia terus mengajak anak kedua ku Masahitah. Aku pula sarapan nasi lemak, biras ku Yazid belikan untuk anak-anak dia. Dia belikan lebih untuk aku dan anak-anak aku yang tak ada kupon. Balik dari sarapan isteriku terus mengajak ku ke Hospital Slim River, mungkin biras dan ipar-ipar yang mencadangkannya dan bimbangkan keadaan aku. Aku tanpa berfikir panjang terus bersetuju, aku juga memang bimbang keadaan dada ku yang sakit. Dalam fikiran macam-macam yang terlintas, tulang rusuk patah atau paru-paru tercucuk tulang atau pendarahan dalaman dan macam-macam lagi. 10:30am kami terus hantar anak-anak kami kepada ipar ku Munah untuk tumpangkan mereka balik ke Chemor. Isteri aku kemudiannya membawa aku ke Hospital Slim River ke unit kecemasan. Isteri ku gunakan “Gurantee Letter” untuk daftarkan aku. Kemudiannya attendan tu memberikan aku nombor 2002 dan disuruhnya aku menunggu di luar bilik “C”. Setengah jam kemudian barulah nombor aku dipanggil, aku dalam keadaan terhencut-hencut terus ditanya Dokter. Aku menceritakan segalanya pada Dokter. Dokter menekan bahagian yang tidak sakit untuk memastikan kebenaran kata-kata ku. Dia juga memeriksa bahagian lain terutamanya bahagian kepala dan tulang belakang. Kemudian dia mengarahkan aku untuk pergi ke bilik x-ray. 




     Juru x-ray terus mengambil empat slide, dua di bahagian dada dan dua di kaki. Film x-ray tu terus dibawa aku dan berikan pada Dokter. Dokter kemudian memanggil aku dan setelah ditelitinys dia mengesahkan bahagian lutut kaki tak ada apa-apa yang patah tapi bahagian dada dua tulang rusuk nombor 7 & 8 patah katanya sambil menunjukkan pada film x-ray aku.  Aku menerimanya dengan penuh tabah dan mulai sekarang aku tak boleh terlalu aktif dan aktivity memanjat gunung terpaksa aku lupakan buat sementara waktu sehingga keadaan ku pulih. Dokter banyak menasihatkan aku supaya kurangkan pergerakkan. Aku diberi m.c. selama satu minggu, pemeriksaan susulan akan dilakukan pada hari Jumaat depan di Kepala Batas setelah aku memberitahu bahawa aku berasal dari sana. Dokter kata tulang yang patah tu tak perlu di “operate”, ia akan bercantum dengan sendiri. Cepat atau lambat bergantung pada peringkat umur, kalau umur muda cepat ia bercantum dan sembuh. Umur macam aku ni alamat lambat le. 



Kalau aku telti gambar x-ray tu sendiri memang tak nampak tapi rasa perit bila aku cuba bergerak, bila aku batuk atau bila aku terbersin walaupun aku cuba elakkan dari bersin, hanya Allah saja yang tahu peritnya sakit didada ku. Aku juga tanya pada Dokter samada paru-paru aku tertusuk oleh tulang ataupun tak? Katanya tulang aku patah masih di dalam salutan daging dan tulang yang patah tu tidak berselisih. Apa yang terungkap di dalam hati ku adalah “Alhamdulillah.. syukur”. Sebelum aku pulang, Dokter telah memberikan aku satu suntikan dos tahan sakit dan kemudian aku ke farmasi untuk mengambil pil tahan sakit untuk dimakan apabila sakit.



     Kemudian kami pun pulang ke Chemor rumah mertua ku. Aku juga dah melapurkan kejadian ini pada Pegawai perubatan syarikat aku bekerja. Musibah yang terjadi pada aku kali ini sungguh menginsafkan aku, aku sering melihat orang menimpa musibah. Aku juga sering berdoa supaya dijauhkan dari musibah dan bala bencana. Ya Allah.. ampunkan dosa hamba Mu ini.. andai kata aku tersalah betulkan aku.. tunjukkan aku jalan lurus yakni jalan yang di redai Mu. Aamiin...

Rabu, 31 Januari 2018

Mengapai puncak menara


As salamualaikum.. antara hobi-hobi aku yang masih aktif hingga sekarang adalah ‘hiking & camping’ atau mendaki dan berkemah. Hobi ni sebenarnya bermula sejak dari sekolah lagi. Kemudian bersambung masa aku masih bujang, tapi lepas kahwin hobi ni terhenti. Walau pun dah kahwin minat tu masih ada cuma ‘group’ saja yang tak ada. Aku masih membeli peralatan untuk berkemah, ianya digunakan masa aku dan famili berkelah. Kadang-kadang aku buka kemah aku untuk anak-anak aku bermain. Bermula tahun 2015 aku dah jumpa ‘group’ baru diketuai oleh Aswan. Dia ni mempunyai minat atau hobi yang sama macam aku dan disiplin dia juga sama macam aku tepat waktu. Matlamatnya sama sihat, cergas dan puas terutamanya bila dah sampai ke puncak.


Macam-macam bukit dan gunung yang kami daki atau tracking. Jerai, Tok kun(Bukit Mertajam), Baling, Bukit Bendera, Muka Head, Monkey beach dan banyak lagi. Kalau ditanya yang mana paling best mesti aku pilih Gunung Baling. Walaupun agak mencabar tapi puas tambah kalau kita mula daki pukul 3:00 pagi. Melihat awan karpet dan matahari terbit adalah waktu paling indah dan tenang. Yang terbaru kami daki adalah Bukit Mertajam atau lebih dikenali Tok Kun. Kali ni aku, Aswan, Azran dan Anas saja yang dapat kami kumpul. Mula daki pukul 7:30am melalui lalauan ‘off road’, laluannya agak curam tapi tak terlalu mencabar hingga jumpa satu kedai kopi cina. Entahlah sapa punya sejak dari dulu tak pernah nampak orang jual kopi, mungkin dia mula buka lambat sikit. Kali ni Aswan tewas awal sikit, sampai di hentian kedua dia dah mengah, dan loya. Sejak dia balik dari Jepun dia demam, mungkin itu adalah penyebabnya. Dia keluar ke jalan tar yang tak jauh dari hentian kedua. Aku, Azran dan Anas teruskan pendakian melalui laluan ‘off road’. Aswan berjanji akan tunggu kami apabila turun nanti. Antara kami bertiga Anaslah yang paling muda, Azran juga dalam umur 30an. Tinggal aku saja yang veteran 50an. 

Anas dengan tenaga mudanya terus pecut tinggalkan aku dan Azran lebih kurang 50 meter. Azran dah nampak keletihan, aku pulak kat tengah-tengah. Hentian ketiga ada diletakkan bangku plastik yang berwarna merah, bolehlah kami berehat sementara. Terima kasih pada sapa-sapa yang sanggup letakkan bangku tu. “Abang Burn pi dulu, nanti saya follow” kata Anas. Oklah orang tua ni jugak yang kena ‘lead’. Sebenarnya tenaga aku adalah dari semangat dan minat aku. Disiplin aku setiap bulan mendaki membuat aku sentiasa cergas.. Alhamdullilah syukur kepada Allah.


Kami berjaya sampai ke puncak yakni menara Telekom pada pukul 10:30am, 2 jam juga pendakian kami. Puas, lega, penat tapi tak terasa itulah perasaan aku. Bunyi ungas, monyet dan serangga adalah hiburan kami untuk melepaskan tekanan. Kami mula turu melalui jalan tar. Jalan ni sebenarnya adalah untuk kenderaan Telekom tapi ramai pendaki menggunaksnnya untuk tujuan mendaki sambil bersenam. Lebih kurang 100 meter kami turun, nampak Aswan sedang mendaki naik. Jadi sama-samalah kami turun. Pukul 11:30am kami berjaya sampai di kaki bukit Tok Kun. Alhamdullilah.

Next kata Aswan ...” Pulai “ 😱☠️, teringat cerita Paan . http://awanandaidapatkugapai.blogspot.my/2016/10/pewai-di-gunung-pulai.html

Ahad, 21 Januari 2018

Kursus Haji



As salamualaikum... bulan November tahun lepas aku dapat lagi tawaran untuk mengerjakan haji. Memang aku dah agak yang TH akan panggil aku lagi. Tahun 2016 aku dah pun terpilih setelah aku daftar pada tahun 2007, tapi pada masa tu pegawai tu bagitau yang aku akan pergi pada tahu 2018. Jadi aku pun merancang akan pergi pada tanun 2018, tetiba 2016 nama aku dah naik. Waktu aku terima tawaran tu dua hari lagi aku nak ke Madinah untuk buat Umrah. Masa aku di Mekah TH call aku suruh bagi jawapan, aku kata tunggu aku balik Malaysia dulu. Dalam hati aku memang berniat nak pergi 2018 jadi balik je aku ke Malaysia terus aku tangguhkan ke 2018. Kali ni aku dah tak ada alasan untuk aku tangguhkan lagi, dah rezeki aku kali ni. Orang lain susah-susah menunggu giliran, aku pun tunggu juga tapi tak berapa kisah sebab aku dah pergi. Tapi hati ni meronta nak pergi lagi, sebab ada benda yang belum selesai. Bukan sebab haji aku dulu tak sah tapi dulu aku terlampau lemah dalam pengetahuan aku tentang haji. Kali ni aku akan bersungguh-sungguh lagi setelah aku kaji. Kali ni juga aku akan ikut muasasah bukan lagi ikut pakej. Jadi lebih mencabar dan tiada lagi keistimeaan macam dulu. 

Bulan December dah mula kursus haji, ia kan berlangsung selama 17 minggu. Minggu ni dah minggu ke 9, bulan March baru habis kursus tu. Ramai juga kenalan yang sama-sama kursus, antaranya Ustaz Wan, Ilyas rakan sekerja, Zalani rakan sekolah dan adik aku Omar. Omar adik aku belum ada nama dalam senarai terpilih, tapi disebabkan dia daftar tahun 2008 iaitu tahun yang nama-nama terpilih dia pun ikut kursus juga. Manalah tau last minit kena panggil.
  
Semasa kursus semua bab-bab yang diajar dah pun aku lalui, aku akan terbayang pengalaman aku masa aku mengerjakan haji tahun 2003. Setiap apa yang diajar semuanya dah aku lalui. Aku cuma semak semula apa yang aku tahu dan apa yang baharunya. Kali ni pergi dengan muasasah kenalah aku berdikari sebab tak ada lagi Ustaz pembimbing. Dulu aku ada Ustaz Akhbar dari Singapore pembimbing kami, apa yang muyskil boleh kami terus tanya. Kali ni aku tak pasti, mungkin ada tapi kena cari, dulu Ustaz selalu datang tanya kalau-kalau ada masalah.
Begitulah dulu dan sekarang zaman dah berubah, apa-apa pun aku harus lalui. Insha Allah...

Jumaat, 8 Disember 2017

Jumpa kembali

As salamualaikum...

Dah lama menyepi, sibuk, tak ada masa nak ber blog... semua tu alasan saja. Sebenarnya sengaja aku stop untuk aku tumpukan kepada pekerjaan. Kini aku cuba untuk start balik. Kepada orang yang dah membaca blog aku ni, aku ucapkan selamat datang dan selamat membaca.


bersambung...

Rabu, 7 Disember 2011

Cuti di Sabah

Dah Lebih 100 hari bonda tercinta pergi selamanya meninggalkan aku. Masih terbayang wajahnya dan terkadang pula aku bermimpi akan dia seolah-olah dia masih hidup. Bila aku terjaga rupa-rupanya aku bermimpi. Setiap kali aku ke tempat kerja pasti aku akan melalui kuburnya dan aku akan memberi salam padanya juga pada arwah ayahanda, pada arwah abang Najib tak lupa pada arwah datukku yang ku panggil bapak. Selepas tu aku sedekahkan Al Fatihah sambil aku memandu terus ke tempat kerja. Kadang kala waktu aku balik pun aku akan lalu melalui tanah perkuburan mereka.  Al fatihah untu mak, ayah, abang Najib dan bapak....

Cerita pasal cuti sekolah tahun ini aku sekeluarga bercuti ke Sabah negeri di bawah bayu. 25-Nov-2011, hari Jumaat aku dah apply cuti awal sebulan lalu. Aku dah war-warkan pada boss aku dan kengkawan aku yang aku nak ke sana, tiket dah hampir setahun isteri aku booking melalui Air Asia kerana nak dapat tambang murah. Hotel pula aku dah booking Online sebulan awal dan dah dikreditkan dalam akuan kredit kad aku.


Pagi tu kami sekeluarga ke Penang Airport dari rumah ipar aku Ma di Bayan Baru. Kami tidur rumah Ma sebab nak suruh biras aku Yazid hantar kami ke Airport dan tinggalkan kereta kat rumah dia. Kami berlepas dari Penang jam 9.00am dan perjalanan ke Sabah mengambil masa 2 1/2jam. Setibanya di Sabah jam 11.30am, Nur dan Saiful dah tunggu depan pintu Air Port. Nur Areyana adalah kawan baru isteri aku, kenal melalui Facebook. Dia diperkenalkan oleh kawan isteri aku yamg tinggal di Sabah. Tak sangka orangnya sangat baik, dia datang dengan tunangnya Saiful juga sangat baik. Tak sangka kami disambut dengan begitu mesra oleh orang yang kami baru kenal melalui Facebook dan mereka tolong kami booking kereta. Plan kami adalah ke Kundasang, tanah tinggi pinggiran Gunung Kinabalu. Saiful dan Nur kembali ke tempat kerja manakala kami terus menuju ke arah Kundasang melalui jalan pintas Tuaran Ranau.

Kami berhenti untuk isi minyak di simpang Karamunsing.
"Dik, di sini dimana ada tempat makan" soal aku kepada budak yang isikan minyak kereta sewa aku tu.
"Kalau abang pusing balik belakang ni ada shopping komplek Karamungsing" katanya pada ku.
"KFC ada tak" tanya aku lagi.
"Ada, sama juga dalam Karamungsing Mall tu" jawabnya lagi.
"Terima kadih dik" aku hulurkan wang isian minyak sebanyak RM50.00 rasanya cukup untuk ke Kundasang.
Kami makan di KFC tu sebelum kami bertolak ke Kundasang. Jarak perjalanan dari KK ke Kundasang sejauh 200km. Aku gunakan GPS Papago yang dah aku setkan ke Kinabalu Pine Resorts. Pejalanannya seperti perjalanan ke Pantai Timur atau pun ke Cameroon Highland. Kami tiba di Kundasang jam 4.30pm, tempatnya memang sejuk. Aku singgah di kedai dekat Pekan Kundasang untuk beli gula dan mee segera.
Kinabalu Pine Resorts memang cantik, resortnya atas bukit, banyak pokok Pine dan terasa macam kat Europe pulak. Tambah pulak hujan, sejuk dan berkabus. Sejuknya terasa hingga ketulang, pukul 6.00pm dah Maghrib. Malam tu kami tidur berbungkus dalam kesejukkan 13° celsius.

26-Nov-2011, Pukul 4.30am dah subuh tapi aku bangun jam 5.00am untuk solat subuh. Kemudian aku keluar duduk kat beranda, jam 6.00am aku dah mula nampak puncak Kinabalu samar-samar. Makin lama makin terang, aku pun panggil isteri dan mertua aku untuk lihat puncak Kinabalu. Kemudian ramai lagi jiran-jiran pelancong keluar untuk melihat dan bergambar. Tenang sungguh jiwa aku waktu tu, udara bersih, kehijauan pokok-pokok buat aku sungguh segar.

Kami check out jam 10.30am dan terus melawat lain-lain tempat. Mula-mula ke ladang Lembu dulu, tanah tinggi penuh dengan lembu-lembu ala New Zealand. Terasa macam kat luar negeri pulak. Banyak juga tempat-tempat lain yang kami singgah seperti tempat permulaan mendaki gunung Kinabalu di Kinabalu Park, Nabalu tempat beli belah, ladang Teh dan banyak lagi tempat indah dan menarik. Yang peliknya sepanjang perjalanan banyak sangat Gerejanya tapi Masjid dan surau kurang sangat.

Kami sampai di KK jam 3.00pm, makan kat Putera Jaya kawasan perumahan. Nampak restorannya menarik tapi kurang selera sikit tapi makan jugak sebab perut lapar. Sampai di Gaya Center Hotel melalui panduan GPS jam 4.00pm. Gaya Hotel terletak di tengah pusat bandar KK depannya pantai dan nampak pulau Gaya. Malam tu Saiful dan Nur ajak kami ke Pasar Filipina untuk shopping. Kemudian kami sama-sama makan kat pasar berdekatan dengan pasar Filipina dan tepi pantai. Di KK banyak Seafood segar tapi agak mahal.

27-Nov-2011, hari Ahad kami banyak keluar pusing-pusing bandar KK. Kami ke UMS, menara Yayasan Sabah, pantai Aru dan Muzium KK. Malamnya pula isteri dan mertua aku sekali lagi ke pasar Filipina untuk shopping. Aku pula merayap sorang-sorang di shopping mall berdekatan.

28-Nov-2011, hari Isnin kami berangkat pulan ke Penang. Saiful dan Nur tolong hantarkan kami di KK Airport. Banyak juga barang-barang yang kami beli. Sabah, KK dan Kundasang kami tinggalkan penuh kerinduan.
  

 

Khamis, 8 September 2011

Permergian Bonda tercinta

Al-Fatihah untuk Bonda tercinta.
Permergian mu tidak ku duga, moga roh mu dirahmati Allah dan ditempatkan dikalangan orang-orang beriman dan beramal soleh.

Memang tidak aku jangka yang demam emak tempoh hari adalah sakitnya yang terakhir dan membawanya pergi meninggalkan kami. Setiap tahun selepas hari Raya emak memang kepenatan dan kadang-kadang menyebabkan dia kurang sihat kerana keletihan, tapi tahun ini emak damam dan keadaannya nampak lebih teruk dari tahun-tahun yang lalu. 

"Mak tak pi klinik ka? tanya aku pada emak semasa melawatnya pada hari Sabtu.
"Pi dah, Dokter bagi ubat demam" jawab emak dengan suara terketar-ketar.
"Darah tinggi mak ok dak"? tanya aku lagi.
"Darah mak ok, cuma kencing manis mak naik 140" katanya lagi.
"Takkan 140, 14 saja kot" tambah aku lagi membetulkan level kencing manis yang dia jawab tadi.

Selama ni tekanan darah tinggi mak tak ada masalah dan kencing manis mak pun under control. Emak memang jaga dia punya level kencing manis, biasanya pada level 5 hingga 6 saja. Emak memang kuat berpantang. Seumur hidup aku belum pernah aku tengok dia demam seteruk ni, kalau batuk dia tak akan minum ais, dia tak makan ayam atau makanan yang menyebabkan gatal dan makanan yang menyebabkan angin. Dia sanggup tak makan makanan sebegitu untuk menjaga kesihatan dia.

"Mak kata dia muntah-muntah dan tak lalu makan" kata isteri aku pada ku.
"Kat sini rasa sakit macam angin dok tolak-tolak" jelas mak pada ku sambil menunjukkan pada perut.
"Abang Radzi suruh tidok atas katil, tapi aku tak mau jauh dari bilik air. Sat gi tak dan kalau nak termuntah jauh nak jalan pi bilik air" sambung mak lagi.

Sungguh aku tidak sangka itu diantara dialog terakhir diantara aku dan emak. Malam tu semasa jamuan hari Raya rumah Omar adik aku, emak memang tak datang. Kak Noni sekeluarga pun tak datang sebab nak jaga emak, cuma Aizat saja wakil dari keluarga kak Noni. Kat rumah Omar kami masih berbincang lagi tentang demam emak. Dah tiga hari emak demam tak kebah-kebah, tadi ramai anak-anak emak pergi tengok emak. Emak dah mula makan bila anak-anak dia suapkan tapi badan dia masih lemah dan dia masih mengadu perut dia sakit berangin.

Ahad 4-Sep-2011, pukul 12pm.
"Abang.. abang ni Omar telefon dia kata mak dah teruk ni" isteri aku kejutkan aku yang terlena atas sofa.
"Abang Abu mak ni tadi nafas dia berhenti..... ya Allah... mak menngucap mak..Laila Ha illallah.....makkkk...ya Allah...makkkk....Lailla Ha illallah...." adik aku meraung dalam telefon. Aku tergamam kaku. 
"Omar... suruh mak kata Allah...Omar, suruh mak kata Allah.." kata aku pada Omar, aku cuma dapat dengar adik aku menangis dan meraung. Aku terus letakkan telefon dan telefon rumah kak Noni untuk bertanyakan dimana Omar bawa emak pergi. Amirul kata yang Omar bawa emak ke Kilnik dan kemudian ke Hospital.
"Abang Abu, Omar bawa mak ke Bagan" call Omar balik pada aku.
"Bagan tu kat mana" tanya aku semula.
"Abang Abu kat mana?" Omar tanya aku.
"Tak kluar lagi, Bagan tu kat mana" balas aku kebingungan.
"Bagan Specialist" jawab Omar, kali ni keadaan Omar agak reda, mungkin mak dah ok kot. Berbagai kemungkinan bermain dalam kepala aku.
"Sat gi abang Abu pi Bagan Specialist" jawab aku pada Omar, aku masih tunggu anak isteri aku bersiap.

Dalam kereta perasaan aku gelisah, macam-macam bayangan dalam fikiran aku. Aku masih membayangkan kalau emak pergi meninggalkan aku, apa harus aku buat. Perasaan manja dan sayang pada emak masih ada dalam diri aku ini. Tangan aku masih mengeletar dan aku dapat rasakan yang darah aku tersirap. Kebas tangan dan kulit muka terasa tebal adalah petanda yang tekanan darah aku naik. Sampai di Mak Mandin tiba-tiba telefon aku berbunyi lagi...

"Hello abang Abu.... abang Abu dah tau dah..." tanya Omar pada ku.
"Belum lagi... pasai apa?" balas aku.
"Mak dah tak dak dah" kata Omar pada ku.
"Hah!...ni abang Abu nak pi mana ni" aku terkejut, keliru tak tentu arah. Tangan aku rasa tak mampu memegang stereng kereta lagi.
"Mai Hospital Bagan Specialist" kata Omar pada ku lagi.
Isteri aku cuba menenangkan aku dan aku terus memandu ke Bagan Specialist.
Di Bagan Specialist aku ke Bahagian Emergancy dan lihat jasad emak terbujur di atas katil. Aku menghampiri emak dan membaca Fatihah. Jasad emak aku kucupi dan terasa teramat hiba.

Jenazah emak dibawa pulang dengan kereta jenazah pada pukul 2.50pm. Aku balik ke rumah emak, dah ramai anak buah aku, kakak aku dan jiran sebelah tolong mengemaskan rumah. Pengalaman menguruskan ayah enam bulan lepas dan abang Najib tiga bulan lepas kami gunakan untuk menguruskan emak. Aku membuat keputusan untuk kebumikan emak petang tu juga setelah didesak oleh Pakcik aku bang Mat jiran sebelah. Bang Mat sepupu emak adalah jiran emak dan juga seorang pengurus jenazah. Aku tak mau emak terseksa kalau di simpan sampai esok. Aku juga telefon abang Mat yang dalam perjalanan balik dari Cheras  untuk kebumikan emak dengan segera dan abang Mat setuju. Abang Mat tak ada masalah sebab dia faham, dia adalah pengikut Tabligh. 

Jenazah emak diuruskan dengan lancar. Emak dimandikan oleh dua orang wanita yang tahu selok belok mandi jenazah disamping anak-anak dan cucu-cucu juga turut sama mandikan emak. Emak kemudiannya di kafankan, kami buat kali terakhirnya melihat wajah emak tercinta. Emak kemudiannya dibawa naik kereta jenazah untuk dibawake masjid Alor Merah untuk disembahyangkan. Ramai juga rakan-rakan aku yang datang menziarahi emak aku. Kira-kira pukul 6.00pm emak disembahyangkan dengan diimami oleh Haji Razak imam masjid Permatang Tok Jaya. Habis disembahyang emak dibawa sekali lagi naik kereta jenazah ke tanah perkuburan masjid Permatang Tok Jaya. Sebelum itu kami dah tentukan tempat untuk emak disemadikan yakni bersebelahan kubur bapak(gelaran untuk atuk aku). Tapi disebabkan sempit penggali kubur telah mengorek di atas kubur bapak. Kubur ayah disebelah kubur bapak. Teringat aku semasa kami bersihkan kubur ayah dibulan puasa hari tu, emak tanya pada kami ada tempat lagikah di sekitar kubur ayah tu. Kami cuma berdiam tanpa mensyaki bahwa pertanyaan tu membawanya ketempat itu.
Jenazah emak kemudiannya terus dibawa masuk ke liang kubur dan ditanam di situ pada pukul 6.30pm. Talqin dibaca oleh imam masjid Alor Merah. Abang Mat sekeluarga, Dinah, Hafidzi tiba setelah selesai Talqin dan Doa. Selesailah pengurusan jenazah emak yang kami uruskan dengan lancar. Malam tu Solat Isyak kami ramai-ramai ke Masjid untuk bacakan Tahlil untuk emak selepas Solat. Kami pulang ke rumah emak dan kami harap kami adik-beradik masih dapat bersama mrngimarah rumah emak ni.
Ya Allah, ampunilah dosa kedua ibu bapa ku yang telah pergi menghadap Mu. Rahmatilah mereka dan tempatkanlah mereka di sisi orang-orang yang beramal soleh.