Ahad, 22 Mei 2011

Abang Najib

Selasa 10-May-2011, tengah syok aku tidur tiba-tiba aku dikejutkan isteri aku.
"Abang...abang.. Omar call tadi dia kata abang Najib dah teruk, kak Nina bawa abang Najib ke Hospital Kepala batas" kata isteri aku.
"Kalau abang OK pi la tengok abang Najib kat Hospital tu sat" kata isteri aku lagi.

Aku masih lagi terkial-kial sebab terkejut dan masih lagi di alam mimpi. Sambil tu aku tengok jam baru pukul 11.50pm dan rasanya tadi aku tidur pukul 11.30pm. Ini bermakna baru 20 minit aku terlelap, patut pun berpinau kepala aku. Biasanya kalau aku terkejut bangun sebegitu selepas tu aku memang susah nak tidur semula. Dah lebih sebulan aku terjaga pada jam sekitar 4.00 am dan selepas tu aku dah tak boleh tidur sehingga aku mandi untuk pergi kerja. Aku jumpa Doktor dan didapati aku ada High Blood Preasure. Tinggi juga darah aku sampai mencecah 165/103 dan sekarang ni aku dah start makan ubat darah tinggi sehari sebiji. Sekarang ni Doktor masih observe darah tinggi aku, resultnya pun makin baik sekitar 130/90.

Berbalik pada cerita abang Najib tadi, aku terus bangun dan pergi ke Hospital. Kat sana aku lihat Omar tengah berlegar-legar kat tempat menunggu, Kak Nina dan Lily duduk kat kerusi menunggu. Aku terus dapatkan Omar untuk tanyakan condition abang Najib dan Omar kata yang paru-parunya dah tak nampak sebelah.  Aku terus dapatkan Kak Nina pulak, Kak Nina kata dah dua hari dia baring saja dan dah tak larat bangun. Doktor dah masukkan darah baru sebab hemoglobinnya dah rendah, teringat aku kat ayah yang menghadapi situasi yang sama dan selepas tu selang berapa hari ayah meninggal. Aku sempat tengok abang Najib kat bilik kritikal, sedih aku lihat keadaan abang Najib yang begitu kurus dimakan Cancer. Dah hampir lapan bulan dia struggle dengan penyakit tu dan macam-macam cara dah berubat termasuk cara kampung. Aku balik ke rumah pukul 3.00am selepas adik-beradik sebelah abang Najib sampai. Aku kenal juga mereka masa aku duduk dengan abang Najib masa aku belajar dulu sekitar tahun 1985 dulu. Sampai rumah pukul 3.30am baru aku boleh tidur semula.

Rabu 11 May-2011, aku pergi kerja lambat sebab terjaga lewat. Balik kerja petang tu aku singgah kat kat Hospital kira-kira pukul 5.00pm. Aku ada masa sejam untuk melawat abang Najib dan juga Amir kawan aku yang masih terlantar kat Hospital Kepala Batas. Pukul 6.00pm aku dah kena ambil anak aku Mirza. Masa aku sampai kat katil abang Najib dia kata dia panas lalu aku terus tarik kipas angin  dekat dengan dia. Ramai sangat orang melawat dia dan dia pulak ditempatkan berhampiran dengan meja Nurse . Sesak aku tengok tempat tu, kalau boleh aku nak minta tolong kat Yati jiran aku suruh ubah ke dalam bilik yang lebih selesa. Tapi Kak Nina kata dia dalam keadaan kritikal jadi memang kena duduk situ. Aku juga sempat tengok Amir yang masih tak bercakap cuma dia angguk saja bila aku tanya samada dia kenal dan ingat kat aku. Aku balik pukul 6.00pm dan terus ambil Mirza.

"Hello Abang Abu .... ni nak bagitau yang abang Najib dah teruk kat Hospital Kepala Batas" Rosnani call aku kat rumah.
"Abang Abu baru balik dari Hospital tadi pukul 6 " balas aku pada Rosnani.
"mmmm... abang Abu dah tengok dia la..." tanya dia lagi.
"dah... dia memang nampak teruk sangat dah" kata aku lagi.
"tak pa lah, kami on the way nak pi tengok dia ni" balas Rosnani menutup perbualan kami.

Khamis 12 May 2011, aku pergi kerja macam biasa, memang banyak kerja yang harus aku selesaikan.
Pukul 9.15am Zaki anak saudara aku kat Ipoh call aku yang menyatakan abang Najib dah pergi menghadap Illahi. Setelah lebih tujuh bulan dia menghadapi siksa dengan penyakit Cancernya tiba masanya untuk pergi. Semua usaha untuk memulihkannya menghadapi jalan buntu, teruk dia kena cancer tu. Betul kata Dokter yang dia cuma boleh bertahan enam bulan atau lebih sikit.

Aku bergegas pulang setelah aku inform kat Mr Lee. Zaki call aku untuk pergi rumah abang Mat jiran Mak aku uruskan soal pengkebumian abang Najib. Omar, Afifi, Zaki dan aku sampai rumah abang Mat, kami berbincang untuk uruskan mayat abang Najib. Hari tu pulak hujan lebat seharian, susah jugak pergerakan kami. Habis selesai berbincang dengan abang Mat aku terus balik rumah salin baju dulu. Sampai rumah arwah abang Najib aku lihat ramai kawan-kawan abang Najib dah ada kat situ. Kak Nina kelihatan tenang menghadapi situasi itu begitu juga dengan Lily. Mungkin mereka dah bersedia untuk berhadapan dengan keadaan sebegitu, takdir dah menentukan sebegitu.

Proses mandi mayat, kafan disempurnakan dengan baik sekali. Pukul 4.00pm kereta mayat datang dan mayat dibawa ke masjid Alor Merah sama tempat ayah disembahyangkan. Aku naik kereta mayat untuk mengiringi mayat abang Najib. Sembahyang mayat diimamkan oleh abang Yan (abang ngah kepada abang Najib). Hujan terus turun renyai-renyai, mayat dibawa ke perkuburan Permatang Tok Jaya dekat dengan kubur ayah. Kami pilih tempat tu supaya mudah kami menziarahi kubur mereka. Selesai liang lahat digali walaupun agak cetek disebabkan hujandan tanah berpasir mayat abang Najib disemadikan dan ditalkinkan oleh Imam masjid Alor Merah. Kami pulang menninggalkan abang Najib dan tak lupa ayah yang aku sayangi di situ.

Aku pernah tinggal menumpang dengan abang Najib di Mergong Alor Setar semasa aku belajar di Politeknik Alor Setar tahun 1985 dulu. Abang Najib memang baik orangnya, tak lokek dan mudah dibawa berbincang. Lily juga baru lahir pada tahun itu dan aku sempat mengasuh Lily semasa dia kecil dulu. Aku memang terhutang budi pada abang Najib yang banyak membantu aku semasa aku belajar dulu.

Ya Allah, seorang lagi saudara ku pergi menghadap Mu.
Al Fatihah...
  

Tiada ulasan: